MyCartopia.com Click here to get one

Sunday 15 February 2009

Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah bantah program Musawah anjuran SIS

Alor Setar : Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah melalui Ketua Penerangaannya Ustaz Mohd Nizam Nuh membuat kenyataan membantah program Musawah anjuran Sisters In Islam (SIS) di hotel Prince, Bukit Bintang pada 13 hingga 18 Februari ini.

Beliau berkata, program Musawah tersebut dirasmikan Penasihat Khas Perdana Menteri, Dato' Seri Shahrizat Abd Jalil.

Menurut beliau, antara topik yang akan dibincangkan berhubung kesamarataan Islam, gender, poligami, faraid dan sebagainya yang menyentuh isu-isu sensitif berkaitan dengan Islam.

Katanya, SIS tidak berhak untuk mempromosi tentang Islam yang tulen disebabkan kedangkalan mereka serta berlatarbelakangkan profesional.

Beliau menegaskan Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah membantah sekeras-kerasnya perjalanan program tersebut dan mendesak agar pihak berwajib tampil mengambil tindakan.

Program Musawah itu membincangkan nilai-nilai Islam liberal 'New Muktazilah' oleh ulama gerakan Islam yang merupakan antara bentuk penyamaran baru musuh untuk mengelirukan fikiran umat Islam turut dipromosikan oleh TV3.

Antara penceramah yang terlibat Amina Wadud, Ziba Mir Hosseini, Muhd Khalid Masud, Hussein Muhd.

Ustaz Zainal Asri menegaskan bahawa topik yang sering dibincangkan tentang moral tidak boleh diperundangkan dan dosa-dosa peribadi bukanlah satu jenayah. "Ini antara tunjang pemikiran Islam liberal yang kita lihat di negara umat Islam dan telah tersebar di Indonesia dan Pakistan," tegasnya.

Beliau melihat itu adalah fahaman musuh-musuh Islam sebab itu negara Indonesia gerakan itu ditaja oleh NGO Barat seperti Asia Foundation Corand dan di Indonesia menggunakan televisyen swasta termasuk majalah dan akhbar untuk mempromosikan fahaman Islam liberal.

Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah menyeru kepada NGO Islam dan NGO yang memperjuangkan pemerkasaan Melayu untuk tampil membantah bersama-sama.

Katanya, jika mereka boleh berarak di jalan raya dalam isu mempertahankan Kesultanan Melayu konon ada pendurhakaan di Perak kenapa dalam isu Islam mereka tidak boleh membantah. "Saya cabar mereka untuk tampil menentang program mempromosikan Islam liberal kerana ini juga merupakan agenda untuk meruntuhkan jati diri orang Melayu," tegasnya.

Beliau turut menyelar sikap Umno yang dengan sengaja membiarkan fahaman itu menular dalam masyarakat.

"Saya berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zahid Hamidi mengambil tindakan dan perlu melihat bahawa Islam liberal sebagai sebahagian ajaran sesat di negara ini dan seluruh dunia," tegasnya.

No comments:

Post a Comment