MyCartopia.com Click here to get one

Wednesday 28 October 2009

NADWAH SIASAH SYARIYAH DEWAN ULAMAK PAS PUSAT


Dewan Ulamak PAS Pusat dengan kerjasama Dewan Ulamak Pas Kedah akan menganjurkan Nadwah Siasah Syariyah pada hari Sabtu , 31 Oktober 2009 di Kompleks PAS Kedah bermula jam 8.30 pagi. Program akan diisi dengan ucaptama Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat dan perbahasan peserta.

Monday 26 October 2009

TEKS USRAH BULAN 10 (BERANI)

BERANI

MUQADDIMAH

Perkara paling penting yang perlu ada bagi pemuda mukmin adalah kekuatan dan keberanian untuk menzahirkan kebenaran terutama ke atas musuh-musuhnya. Kedua-duanya berkait rapat dengan hubungan yang baik dengan Allah. Hubungan ini terjalin melalui tauhid, cinta, harapan, takut, taubat, kusyuk, tawakkal dan sentiasa berada di sisiNya serta mencukupkan diri dari yang selainNya.

Dalam hal ini, Allah SWT telah pun menjelaskan dalam kitabnya bahawa orang yang berhak menjadi pemimpin di bumi ialah manusia yang memiliki hati yang takut kepada Allah. Sifat takut hanya pada Allah akan menzahirkan rasa berani terhadap selain Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan Kami pasti akan menempatkan kamu di negeri-negeri itu setelah mereka (orang Kafir) . Yang demikian itu adalah untuk orang-orang yang takut (menghadap) kehadratKu dan takut akan ancamanKu”. –Ibrahim ayat 14

BERANI YANG DITUNTUT

Sebenarnya sifat berani yang dituntut agama ialah berani yang bersifat positif sahaja. Dengan kata lain, berani pada tempatnya atau berani kerana benar yang mendatangkan kebaikan kepada diri, jamaah dan masyarakat.

Sebagai contoh ialah berani hanya kepada apa yang disuruh Allah SWT terutama di dalam usaha menegakkan agamaNya. Berani seperti ini adalah sikap diri yang mendorong sifat rajin dan berwaspada, sebab dengan adanya sifat-sifat ini, manusia akan merasa bahawa segala gerak gerinya hanyalah untuk mencari ridha Allah dan sedar bahawa ia sentiasa dalam pengawasan dan pertolonganNya.

Berani hanya kepada yang benar bermakna takut melakukan yang salah dan maksiat. Perasaan takut seperti ini berpunca dari perasaan takut kepada Allah. Ibnu Qudamah Al-Maqdisi menerangkan bahawa takut kepada Allah akan mendorong untuk mengamalkan ilmu pengetahuan, dan untuk lebih banyak beramal, kerana ilmu dan amal itu sendiri akan dapat mendekatkan diri kepada Allah.

BERANI YANG DITEGAH

Berani yang ditegah agama ialah berani kepada sesuatu yang patut ditakuti atau berani melanggar syariat dan peraturan yang baik. Dengan kata lain, berani yang merugikan diri sendiri, jamaah dan masyarakat, setidak-tidaknya berani yang tidak mendatangkan sebarang manfaat.

Berani dalam hal yang tidak baik sama buruknya dengan perasaan takut melakukan yang baik dan berguna, kerana kedua-duanya akan merosak dan menggagalkan hidup seseorang. Tidak menghairankan mereka yang tidak mempunyai keberanian tidak akan meningkat taraf keupayaan perjuangannya. Mereka terlalu mudah menyerah kepada perasaan takut yang menghantui mereka. Hal itu merupakan kesalahan besar terutama terhadap pemuda Islam kerana ia tidak boleh menzahirkan kemampuan yang sebenar

Mungkin kita boleh mencontohi seekor semut yang sedang berusaha mengambil gula di dalam botol, meskipun kita menghalaunya, namun ia tidak mudah mengalah sebelum mendapatkan gula tersebut. Dengan berani, gigih serta tekun ia dapat membawa keluar gula yang terkadang lebih besar dari tubuhnya.

RASUL PELOPOR KEBERANIAN

Bani Israil telah lama dicengkam kejahatan dan kezaliman Firaun. Akibatnya timbul ketakutan yang luar biasa di dalam diri mereka. Antara perlakuan Firaun kepada mereka ialah:

-Firaun membunuh semua anak lelaki yang baru lahir

-Firaun merperlakukan mereka sebagai warga kelas dua

-Firaun menyuruh mereka menyembahnya dan mengaku dirinya tuhan

Perubahan besar Bani Israil berlaku selepas Nabi Musa menerima wahyu dari Allah di Bukit Thursina. Ia bermula apabila Nabi Musa sedar tentang siapa dirinya dan tahu tentang posisi Firaun yang sebenarnya. Maka terzahirlah keberanian Nabi Musa apabila:

-Datang kepada Firaun dan memintanya membebaskan Bani Israil

-Mengajak Firaun menyembah Allah

-Menentang ahli sihir Firaun

-Memimpin Bani Israil berhijrah keluar dari kekejaman Firaun

Lihatlah wahai para pemuda, ketika Nabi Musa tahu tentang diri dan potensinya, berlakulah perubahan. Nabi Musa yang datang menghadap bukan lagi sosok yang menjadi warga kelas dua, diburu tentera Firaun dan anak angkat di istana Firaun, sebaliknya ia adalah Rasulullah yang menjadi pelopor perubahan kepada Bani Israil dengan penuh keberanian.

Justeru itu, sedarlah sahabat bahawa kita adalah “Musa-Musa kecil” yang berhadapan dengan banyak “Firaun-Firaun” yang hadhir dalam berbagai rupa bentuk kehidupan kini. Iaitu Firaun-Firaun yang menakuti kita dan membuatkan hidup kita berada di jalur yang lemah, bacul dan salah.

Tugas kita sebagai “Musa-Musa kecil” adalah melawan segala bentuk “Fir’aunisme kehidupan” yang merosakkan itu. Sebab, selagi kita tidak melawan, kita akan terus dikuasai hingga tidak mampu melakukan perubahan kearah yang lebih baik.

ALQADISIYAH CETUS KEBERANIAN

Al Qadisiyah adalah satu lagi symbol keberanian dalam sejarah awal Islam. Dari satu sudut, ia melambangkan pertarungan sebuah Negara baru yang bermodalkan nilai ubudiyah yang kental melawan sebuah kuasa besar dunia. Dari sudut lain pula, ia melakarkan dialog yang menonjol makna keberanian yang sangat jelas.

Sebagai peristiwa sejarah, Al Qadisiyah adalah lokasi pertempuran besar antara pasukan Islam dengan pasukan Parsi. Negara Madinah yang masih terlalu muda mengirimkan panglima Saad bin Abi Waqqas, sementara Parsi diwakili lansung panglima besarnya Rustum. Tambahan pula kekuatan pasukan Islam hanya seperempat pasukan musuh yang membariskan tentera bergajahnya sebagai kenderaan pemanah namun pertempuran yang berlaku menjadi punca kehancuran kuasa besar Parsi.

Menjelang pertempuran, berlaku dialog yang menonjol makna keberanian yang jelas. Ketika itu, Rustum hairan dengan keberanian pasukan kecil Negara baru dari semenanjung Arab itu

Kemudian ia bertanya kepada Rabi’, “sebenarnya dengan apa dan untuk apa kamu datang?”

Rabi’ menjawab tangkas soalan ini, “kami datang membebaskan manusia dari perhambaan manusia menuju perhambaan kepada Allah, dari kezaliman cara hidup kepada keadilan Islam dan dari belenggu kehidupan dunia yang sempit kepada keluasan akhirat.

AL-FATIH

Sultan Muhammad Al-Fatih juga telah meninggalkan sejarah keberanian yang luar biasa di dalam usaha membebaskan kota Konstantinopel. Keberaniannya bukan sekadar berani berhadapan dengan kuasa besar Romawi bahkan berani mencuba untuk mencapai janji Rasulullah SAW dengan melaksanakannya dan juga berani mencuba sesuatu yang baru seperti melayarkan kapal armada Turki di darat dengan menempuh jarak sepuluh batu apabila kapal sudah terperangkap di laut.Di atas kayu-kayu balak yang dilumuri dengan lemak, armada kapal perang Al-Fatih ditarik oleh para tentera dengan bantuan kuda dan lembu.

Al Fatih dengan semangat pelaksanaannya mendapat ilham yang penuh dengan kecerdasan, kekuatan, keberanian dan keajaiban untuk mewujudkan janji yang lama tertangguh. Keinginannya untuk mewujudkan janji itu melahirkan sejarah kepahlawanan yang mengagumkan..

PEMUDA YANG BERANI

Saudara sekelian, apa yang kita inginkan dari perbincangan ini ialah kefahaman dan kesedaran bahawa sifat berani amat penting kepada kita. Kita perlu memiliki sifat berani didalam banyak perkara, antaranya:

-berani melakukan perkara yang bermanfaat dan menguntungkan Islam

-berani mengakui kekurangan

-berani menghadapi kritikan

-berani mencetus dan memimpin perubahan

-berani mengubah suasana dan adat yang rosak

-berani membebaskan diri dari kawalan serta pengaruh yang buruk

-berani bersikap jujur

-berani mempertahankan keyakinan

-berani menerima resiko

-berani menjadi “pemain” bukan sekadar “penonton” dalam perjuangan

-berani mengemukakan pandangan dan kritikan membina

-berani “bangun” setiap kali “jatuh”

-dan lain-lain

Namun bukanlah berani yang kita maksudkan di sini secara membuta tuli, sebaliknya mestilah keberanian yang dibina di atas kebijaksanaan dan penuh hikmah.

Mungkin ada di kalangan kita mengukur keberanian melalui sikap yang ditunjukkan, contohnya dikira berani kalau dapat menegur orang lain dengan lantang dan keras, bahkan dikira amat berani jika mampu “cerkah” orang lain. Ya, ada ketika kita mesti bersuara lantang dan keras, itu adalah salah satu ciri pemuda namun kita mesti bijak menggunakan “sifat keras” itu.

Adalah amat baik jika kita gunakan sifat berani kita untuk mengemukakan cadangan yang baru dan meneroka sesuatu langkah terkini untuk memajukan perjuangan kita.

Akan tetapi janganlah pula kerana terlalu berhikmah akhirnya kita menjadi bacul, lembik, ceroi dan yang semasa dengannya.

PENUTUP

Wahai sahabat-sahabat para pemuda!

Renunglah apa yang diingatkan oleh Rasulullah SAW di dalam sabdanya yang bermaksud:

“Janganlah salah seorang dari kamu menghina dirinya sendiri”.

Para sababat bertanya: “Wahai Rasulallah SAW, bagaimana seseorang itu menghina dirinya sendiri?”. Rasulullah menjawab dengan sabdanya: ‘seseorang yang melihat satu perkara yang patut ia memberi teguran kerana Allah, tetapi ia tidak berbuat demikian, maka pada hari kiamat kelak Allah SWT akan bertanya kepadanya, apakah yang menghalang kamu daripada berkata (menegur) dalam perkara tersebut?, lantas orang itu menjawab: “kerana takutkan manusia”, Allah berfirman kepadanya: “Sepatutnya Akulah yang berhak engkau takut”

Saturday 24 October 2009

Lajnah IT Dewan Ulama Kedah ditubuhkan

Mesyuarat Dewan Ulama telah meluluskan penubuhan Lajnah IT dalam mesyuarat bulanan yang lalu. Menurut Setiausaha Dewan Ulama Pas Kedah Ustaz Zainul Asri Hj Ramli penubuhan Lajnah ini adalah bagi meluaskan maklumat kepada umum melalui perkembangan Teknologi terkini khususnya pembinaan blog Dewan Ulamak. Pengerusi Lajnah tersebut ialah Ustaz Abdul Ghani Abdullah yang juga merupakan penolong Pendaftar Kolej Islam Darul Ulum(KIDU). Orang ramai boleh melihat Dewan Ulamak Kedah melaui alamat berikut www.dupnk.blogspot.com.



Menurut Ust Abdul Ghani yang dihubungi menyata hasratnya supaya blog Dewan Ulamak akan menjadi medium yang aktif bagi menjawab persoalan semasa dan pandangan ulamak khususnya Ulamak PAS Kedah dalam isu yang berlaku dan maklumat Kerajaan Negeri Kedah dan maklumat berkaiatan pendidikan Islam di Kedah sama sistem pengajian pondok, pengajian nizhomi dan lain - lain sebagi imfo masyarakat bagi lanjutan pengajian anak - anak mereka di Kedah. beliau juga mengalu-alukan cadangan pengunjung blog dalam ruang komen yang disediakan.

Tuesday 17 February 2009

Makluman Penting

Kepada Seluruh Ahli Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah;

Mesyurat Agung Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah sesi 2009-2011 akan diadakan pada 28hb Februari 2009 bersamaan 3 Rabiul Awal 1430 di Markaz PAS Pendang bermula jam 9.30 pagi. Kehadiran semua ahli DUPNK adalah amat diharapkan. Terima kasih.

Sunday 15 February 2009

Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah bantah program Musawah anjuran SIS

Alor Setar : Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah melalui Ketua Penerangaannya Ustaz Mohd Nizam Nuh membuat kenyataan membantah program Musawah anjuran Sisters In Islam (SIS) di hotel Prince, Bukit Bintang pada 13 hingga 18 Februari ini.

Beliau berkata, program Musawah tersebut dirasmikan Penasihat Khas Perdana Menteri, Dato' Seri Shahrizat Abd Jalil.

Menurut beliau, antara topik yang akan dibincangkan berhubung kesamarataan Islam, gender, poligami, faraid dan sebagainya yang menyentuh isu-isu sensitif berkaitan dengan Islam.

Katanya, SIS tidak berhak untuk mempromosi tentang Islam yang tulen disebabkan kedangkalan mereka serta berlatarbelakangkan profesional.

Beliau menegaskan Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah membantah sekeras-kerasnya perjalanan program tersebut dan mendesak agar pihak berwajib tampil mengambil tindakan.

Program Musawah itu membincangkan nilai-nilai Islam liberal 'New Muktazilah' oleh ulama gerakan Islam yang merupakan antara bentuk penyamaran baru musuh untuk mengelirukan fikiran umat Islam turut dipromosikan oleh TV3.

Antara penceramah yang terlibat Amina Wadud, Ziba Mir Hosseini, Muhd Khalid Masud, Hussein Muhd.

Ustaz Zainal Asri menegaskan bahawa topik yang sering dibincangkan tentang moral tidak boleh diperundangkan dan dosa-dosa peribadi bukanlah satu jenayah. "Ini antara tunjang pemikiran Islam liberal yang kita lihat di negara umat Islam dan telah tersebar di Indonesia dan Pakistan," tegasnya.

Beliau melihat itu adalah fahaman musuh-musuh Islam sebab itu negara Indonesia gerakan itu ditaja oleh NGO Barat seperti Asia Foundation Corand dan di Indonesia menggunakan televisyen swasta termasuk majalah dan akhbar untuk mempromosikan fahaman Islam liberal.

Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah menyeru kepada NGO Islam dan NGO yang memperjuangkan pemerkasaan Melayu untuk tampil membantah bersama-sama.

Katanya, jika mereka boleh berarak di jalan raya dalam isu mempertahankan Kesultanan Melayu konon ada pendurhakaan di Perak kenapa dalam isu Islam mereka tidak boleh membantah. "Saya cabar mereka untuk tampil menentang program mempromosikan Islam liberal kerana ini juga merupakan agenda untuk meruntuhkan jati diri orang Melayu," tegasnya.

Beliau turut menyelar sikap Umno yang dengan sengaja membiarkan fahaman itu menular dalam masyarakat.

"Saya berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zahid Hamidi mengambil tindakan dan perlu melihat bahawa Islam liberal sebagai sebahagian ajaran sesat di negara ini dan seluruh dunia," tegasnya.

Isu Yoga - Dewan Ulamak PAS Gesa Semua Pihak Hormati kajian Ilmuwan Islam dan Majlis Fatwa

Merujuk kepada fatwa pengharaman amalan Yoga yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain. Ianya adalah tidak sesuai dengan umat Islam dan boleh merosakkan akidah seorang muslim. Fatwa ini telah dikeluarkan daripada hasil perbincangan oleh Ahli Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 22–24 Oktober 2008 di Kota Bharu, Kelantan.

Pihak Majlis Penyelidikan dan Penjelasan Hukum (MPPH), Dewan Ulamak PAS Pusat, menggesa masyarakat Malaysia agar menghormati keputusan itu.

Sebagai badan yang berautoriti mengeluarkan fatwa untuk negara, majlis tersebut diyakini telah manjalankan pelbagai kajian dan penyelidikan secara mendalam sama ada oleh barisan ahli majlis atau dibantu oleh badan seperti JAKIM.

Setelah melihat dasar-dasar pengkajian yang dibuat oleh pihak JAKIM dan pihak-pihak yang berkenaan dalam isu ini, pihak Fellow MPPH yang telah bermesyuarat pada hari khamis, 27 November 2008 telah bersetuju untuk kami menyeru :

1. Semua pihak mestilah menghormati keputusan fatwa yang telah dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan.

2. Semua umat Islam sama ada individu atau pertubuhan diharapkan tidak menyerang Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu ini, dalam masa yang sama jika dirasakan timbul kekeliruan tentang fatwa tersebut, diharapkan dapat meminta penjelasan daripada pihak Majlis Fatwa Kebangsaan itu sendiri.

3. JAKIM perlu menjelaskan kekeliruan yang timbul terhadap keputusan fatwa dan juga mendedahkan hasil kajian yang dibuat secara mudah difahami oleh masyarakat.

Pihak MPPH juga berharap masyarakat non-muslim tidak sensatif dengan fatwa ini kerana ia melibatkan hanya golongan muslim. Apabila fatwa dikeluarkan, ia bukan bermakna satu enakmen undang-undang yang dikuatkuasakan kepada seluruh rakyat tanpa mengira muslim atau non-muslim.

Suka untuk kami tegaskan bahawa segala amalan dan pergerakan fizikal seperti yoga atau seumpamanya, jika digabungkan dengan amalan bacaan tertentu, maka perlu dipastikan bacaan itu dibenarkan oleh syariah Islam atau sebaliknya.

Jika bacaan itu berupa mentera yang tidak difahami, bahasa yang tidak diketahui, maka kami menasihatkan umat Islam supaya menjauhinya.

Oleh itu, setiap latihan dan pergerakan fizikal yang diambil dari amalan budaya dan bangsa lain, ianya mesti dipisahkan daripada amalan kerohanian dan bacaan tertentu yang biasanya didatangkan dalam satu pakej.

Walau bagaimanapun, hakikat sebenar sejauhmana amalan itu diunsuri oleh keagamaan tertentu memerlukan kepada penelitian dan pengkajian. Dan kami meyakini bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan dibantu oleh JAKIM dan lain-lainnya telah meneliti dengan mendalam realiti kepada pengamalan tersebut.

Oleh itu, kami pihak MPPH menyambut baik fatwa yang telah dikeluarkan hasil perbincangan Ahli Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan juga kajian yang dibuat oleh JAKIM. Kami meminta semua pihak menghormati serta mematuhinya.