MyCartopia.com Click here to get one

Sunday 15 February 2009

Isu Yoga - Dewan Ulamak PAS Gesa Semua Pihak Hormati kajian Ilmuwan Islam dan Majlis Fatwa

Merujuk kepada fatwa pengharaman amalan Yoga yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain. Ianya adalah tidak sesuai dengan umat Islam dan boleh merosakkan akidah seorang muslim. Fatwa ini telah dikeluarkan daripada hasil perbincangan oleh Ahli Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 22–24 Oktober 2008 di Kota Bharu, Kelantan.

Pihak Majlis Penyelidikan dan Penjelasan Hukum (MPPH), Dewan Ulamak PAS Pusat, menggesa masyarakat Malaysia agar menghormati keputusan itu.

Sebagai badan yang berautoriti mengeluarkan fatwa untuk negara, majlis tersebut diyakini telah manjalankan pelbagai kajian dan penyelidikan secara mendalam sama ada oleh barisan ahli majlis atau dibantu oleh badan seperti JAKIM.

Setelah melihat dasar-dasar pengkajian yang dibuat oleh pihak JAKIM dan pihak-pihak yang berkenaan dalam isu ini, pihak Fellow MPPH yang telah bermesyuarat pada hari khamis, 27 November 2008 telah bersetuju untuk kami menyeru :

1. Semua pihak mestilah menghormati keputusan fatwa yang telah dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan.

2. Semua umat Islam sama ada individu atau pertubuhan diharapkan tidak menyerang Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu ini, dalam masa yang sama jika dirasakan timbul kekeliruan tentang fatwa tersebut, diharapkan dapat meminta penjelasan daripada pihak Majlis Fatwa Kebangsaan itu sendiri.

3. JAKIM perlu menjelaskan kekeliruan yang timbul terhadap keputusan fatwa dan juga mendedahkan hasil kajian yang dibuat secara mudah difahami oleh masyarakat.

Pihak MPPH juga berharap masyarakat non-muslim tidak sensatif dengan fatwa ini kerana ia melibatkan hanya golongan muslim. Apabila fatwa dikeluarkan, ia bukan bermakna satu enakmen undang-undang yang dikuatkuasakan kepada seluruh rakyat tanpa mengira muslim atau non-muslim.

Suka untuk kami tegaskan bahawa segala amalan dan pergerakan fizikal seperti yoga atau seumpamanya, jika digabungkan dengan amalan bacaan tertentu, maka perlu dipastikan bacaan itu dibenarkan oleh syariah Islam atau sebaliknya.

Jika bacaan itu berupa mentera yang tidak difahami, bahasa yang tidak diketahui, maka kami menasihatkan umat Islam supaya menjauhinya.

Oleh itu, setiap latihan dan pergerakan fizikal yang diambil dari amalan budaya dan bangsa lain, ianya mesti dipisahkan daripada amalan kerohanian dan bacaan tertentu yang biasanya didatangkan dalam satu pakej.

Walau bagaimanapun, hakikat sebenar sejauhmana amalan itu diunsuri oleh keagamaan tertentu memerlukan kepada penelitian dan pengkajian. Dan kami meyakini bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan dibantu oleh JAKIM dan lain-lainnya telah meneliti dengan mendalam realiti kepada pengamalan tersebut.

Oleh itu, kami pihak MPPH menyambut baik fatwa yang telah dikeluarkan hasil perbincangan Ahli Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan juga kajian yang dibuat oleh JAKIM. Kami meminta semua pihak menghormati serta mematuhinya.

No comments:

Post a Comment